Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka
Peti Surat 61754 Tawau, Sabah 91027 Malaysia Tel: 089-768871 
 Info Sekolah • Pengetua • Guru Pendidik • Staf Am • Ko-Kurikulum • Takwim Sekolah • Pencapaian Akademik
Pengetua Sekolah

Pengetua kini ialah En. Zahba bin Selamat (B.A (Hons) / MTM (HRD), seorang bekas pensyarah Institut Perguruan, sebelum ini bertugas sebagai Pengetua di SMK Kanibongan, Pitas selama 5 tahun. Latar belakang sejarah perkhidmatan beliau adalah seperti berikut:

  • Mula bertugas sebagai guru  di Sk Pontian, Kuala Rompin Pahang pada 2/1/1975.
  • Bertukar ke SK Gombak 2 pada tahun 1979 hingga tahun 1984.
  • Penempatan semula sebagai Guru Siswazah selepas menamatkan pengajian di USM di SM Za’ba, Kuala Pilah, Negeris Sembilan pada 1/6/1985.
  • Beliau kemudian dilantik menjadi Pensyarah / Ketua Jabatan di Maktab Perguruan Gaya yang kini dikenali sebagai Institut Perguruan Gaya pada 16/06/1986 hingga September 2003.
  • Pada 16/9/2003 beliau dinaikkan pangkat menjadi pengetua DG48 di SMK. Kanibongan, Pitas dan terus menabur jasa hingga 14/4/2008.
  • Bermula 15/4/2008, beliau telah ditugaskan ke SMK Abaka selaku pengetua dan mencurah bakti hingga kini.

Beliau mengamalkan kepimpinan berorientasikan tugas yang berfokus untuk meningkatkan kualiti pembelajaran murid. Beliau meletakkan target yang perlu dicapai oleh guru dan pelajar dalam peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM. Beliau juga sangat menggalakkan pelajarnya untuk menceburi bidang ko-kurikulum agar seiring dengan pencapaian akademik. Oleh itu, beliau telah menetapkan dasar-dasar yang jelas berkaitan hal-hal kurikulum, ko-kurikulum dan hal ehwal murid sebagai penanda aras ke arah kejayaan dan selari dengan visi dan misi sekolah. Dalam aspek prasarana sekolah, sepanjang beliau bertugas di sekolah ini telah banyak kemudahan ditambah dan dilengkapkan bagi meningkatkan lagi suasana sekolah yang selesa dan kondusif.

 
   

EN. ZAHBA SELAMAT (B.A. (Hons) / MTM (HRD)

PERUTUSAN PENGETUA 2010

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualiikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

 

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, maka kita dapat bersama-sama meneruskan tugas dan khidmat bakti di SMK Abaka pada tahun baru 2010 ini. Sempena tahun 2010 ini marilah kita bersama -sama memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan menyuntik semangat baru yang lebih kental bagi melaksanakan tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa dan melonjakkan pencapaian prestasi sekolah ini dalam berbagai bidang, yang secara langsung meningkatkan mutu pendidikan negara seluruhnya.

 

SMK Abaka sebagai warga Kementerian Pelajaran Malaysia, turut merupakan nadi kepada usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 turut menuntut keupayaan warga SMK Abaka untuk memberikan pendidikan berkualiti yang menekankan pembangunan insan secara holistik dan membangunkan daya inovasi dan kreativiti pelajar. Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara kita. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Ekonomi Baru dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

 

Dalam sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, pendidikan juga merupakan wadah utama untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Hasrat ini hanya akan dapat dicapai melalui pelaksanaan satu sistem pendidikan yang mementingkan nilai-nilai kebangsaan dan menghormati kepelbagaian. Melalui sistem pendidikan ini, para pelajar diasuh dengan nilai-nilai kebersamaan, hormat-menghormati, cintakan tanah air dan penerimaan antara satu sama lain. Saya percaya dengan adanya usaha, tekad dan niat yang murni daripada semua guru dan kakitangan untuk menyemai dan menyuburkan benih perpaduan di kalangan generasi muda melalui satu sistem pendidikan kebangsaan, kita akan berjaya memperkukuhkan perpaduan negara selaras dengan hasrat dan gagasan 1Malaysia.

 

Hakikatnya, melahirkan modal insan yang cemerlang berketrampilan dan memupuk perpaduan kebangsaan adalah dua matlamat murni sistem pendidikan negara. Lebih daripada itu, sistem pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang sempurna dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, fungsi utama pendidikan di negara kita ialah untuk membina dan membangun potensi yang ada pada setiap pelajar kita tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya..

 

Akhir kata saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua warga SMK Abaka, yang telah berusaha dengan gigih untuk melaksanakan pelbagai program pada tahun 2009, sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Bagi tahun baru 2010 ini, saya berharap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan dan ketrampilan sekolah ini  akan dilipatgandakan lagi agar kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada para pelajar kita pada hari ini dan masa depan. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Semoga usaha kita akan diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

 

 

Zaaba bin Selamat

        Pengetua

SMK Abaka, Tawau

 

Tarikh: 4 Januari 2010

 
 

1.      En. Eduardo Magbanua (Jan. 1962-1965)

2.      Mr. P.C. Abraham (1965 – 1967)

3.      Mr. Lim (1967)

4.      En. Eduardo Magbanua (1967 – 1985)

5.      En. Saruji Apang (1986 - Dis. 1991)

6.      En. Syaripudin Kamarzaman (Memangku) (Jan 1992 – Mei 1996)

7.      Tn. Hj. Ismail Sulaiman (Jun 1996 - Oktober 2005)

8.      Pn. Norliza Mustafa (Disember 2005 – Mac 2008)